WEBINAR: Bahasa Melayu dalam Norma Baharu: Cabaran dan Harapan

Satu Kolaborasi bersama MAAL dan Kulliyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Registration Link/ Pautan webinar (klik di sini):  http://bit.ly/BMDalamNormaBaharu

Sinopsis Webinar

Webinar ini akan memfokuskan kepada perbincangan cabaran dan harapan tentang isu bahasa Melayu dalam norma baharu. Perbincangan pada topik ini bertujuan untuk mengupas perkembangan dan kedudukan bahasa Melayu pada konteks terkini. Perkembangan dan pencapaian dunia global ini menjadi ancaman besar kepada generasi hari ini yang memperlihatkan bahasa Melayu masih tidak cukup mantap kerana bahasa Melayu itu tidak kolerasi dengan taraf sosial dan nilai ekonomi yang tinggi. Apakah padangan dan peranan ahli bahasa pada hari ini dapat memberi kefahaman dan menekankan kedudukan bahasa Melayu pada generasi muda hari ini yang melihat bahasa Melayu semakin dilacurkan khususnya dalam perkembangan kemodenanan pada hari ini. Selain itu, apakah harapan atau pandangan yang boleh dilakukan bagi menjaga dan mengekalkan kedudukan bahasa Melayu pada abad ini.

Biodata Ahli Panel

Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong

Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong ialah Profesor Linguistik, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).   Kini beliau berkhidmat sebagai Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA) di sana. Dari segi kelayakan akademik, Prof. Dato’ Dr. Teo memiliki empat ijazah dalam pengkhususan linguistik.  Dua diperoleh daripada universiti tempatan, iaitu Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian Kelas Pertama daripada Universiti Malaya pada tahun 1982, dan Sarjana Persuratan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1986.  Dua lagi diperoleh daripada The University of California at Berkeley, Amerika Syarikat, iaitu Masters of Arts pada tahun 1991 dan Doctor of Philosophy  pada tahun 1993. Prof. Dato’ Dr. Teo dilantik menganggotai beberapa jawatankuasa bahasa Melayu.  Antaranya sebagai Pakar Bahasa dalam Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, selain sebagai ahli Jawatankuasa Bahasa, Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka,  ahli Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan, ahli Jawatankuasa Pelaksana Majlis Bahasa Melayu Institusi Pengajian Tinggi Nusantara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, dan ahli Kumpulan Pakar Pusat Kecemerlangan Persuratan Melayu Antarabangsa, di Melaka. Sehubungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Prof. Dato’ Dr. Teo adalah salah seorang ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara pada tahun 2012.  Lanjutan daripada ini, beliau dilantik sebagai seorang daripada 11 orang anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan untuk tempoh tahun 2014-2016. Atas keahlian dan sumbangan Prof. Dato’ Dr. Teo dalam bahasa Melayu, beliau dianugerahi Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012, oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Dalam Majlis Profesor Negara, Prof. Dato’ Dr. Teo ialah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya.

En. Uzaidi Udanis

Nama Encik Uzaidi sudah tidak asing lagi dalam industri pelancongan dan beliau sudah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 30 tahun. Beliau dikenali sebagai ‘Champion’ atau peneraju Tourism Productivity Nexus, sub-sektor bidang tumpuan kerajaan, yang mensasarkan transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 melalui industri pelancongan. Impaknya dirasai dalam dunia pelancongan dan hospitaliti dengan perkhidmatan budaya yang cemerlang. Oleh itu, satu pusat tumpuan ditubuhkan dengan mengumpulkan perniagaan-perniagaan untuk meningkatkan produktiviti seiring dengan inovasi serta memanfaatkan peluang yang ada. Inisiatif ini menekankan perkembangan ekosistem pelancongan secara holistik untuk meningkatkan penerapan teknologi. Beliau kini berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah Pelancongan Malaysia, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Presiden Malaysia Inbound Tourism Association dan Presiden Caravan and Camping Industry of Malaysia (Caracamp).   Beliau juga sangat aktif dalam melibatkan  industri pelancongan Malaysia semasa pandemik Covid-19 melalui webinar- webinar yang dijalankan. Beliau juga mengetuai Malaysia Virtual Experience (MyVXp) 2.0, iaitu sebuah program yang memanfaatkan platform digital dalam mempromosikan produk luar talian kepada bentuk atas talian

Dr Azaha Ibrahim

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini pernah melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah dalam bidang bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Beliau mempunyai kepakaran dalam penyelidikan filem-filem dan lakonan Tan Sri P. Ramlee dengan pengaplikasian Teori Rasa Fenomenologi. Kini, Azaha Ibrahim bertugas sebagai Pensyarah Kanan Akademik di Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Kampus Kota Bharu. Azaha Ibrahim telah menerbitkan beberapa penulisan akademik antaranya Estetika Rasa dalam Filem Arahan dan Lakon oleh P. Ramlee: Analisis Terhadap Filem Penarek Beca (1955) dalam International Journal of Creative Futures and Heritage dan juga Modul Pemantapan Tatabahasa Bahasa Melayu 2020.

Dr Simah bt. Mamat

Simah binti Mamat dilahirkan di Kg. Apa-apa (Pasir Mas), Kelantan, pada 18 Jun 1976. Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pangkal Kala, Bunut Susu, Sekolah Menengah Kebangsaan Meranti dan ke tingkatan enam, di  Pasir Mas, Kelantan. Seterusnya, mendapat ijazah sarjana muda, Pendidikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama, PBMP (2005), Ijazah Sarjana, PBMP (2009) dan ijazah Ph.D, Pedagogi Bahasa Melayu (2017), Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Selepas hampir tiga tahun berkhidmat di SMK Pulau Ketam, pengkaji berpindah tempat berkhidmat ke SMK Bukit Gading, Sg. Buloh, Selangor. Seterusnya, dilantik sebagai pensyarah akademik dalam bidang Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.  Berpindah tempat berkhidmat ke IPG Kampus Kota Bharu, IPG Kamps Tengku Ampuan Afzan dan IPG Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu.

Prof Madya Dr Faridah Nazir

Prof Madya Dr Faridah Nazir berasal dari  Seremban, Negeri Sembilan dan pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk Ijazah Sarjana Muda dan Doktor Falsafah serta di Universiti Putra Malaysia untuk Sarjana dalam bidang Bahasa Melayu. Pernah bertugas di beberapa buah sekolah menengah di Seremban, Pulau Pinang dan Selangor sebelum menjadi Pensyarah Kanan di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban. Kini, Faridah Nazir bertugas sebagai Profesor Madya di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa, Pagoh, Johor. Faridah Nazir telah menghasilkan 40 buah buku yang terdiri daripada buku akademik, antologi cerpen, antologi puisi dan buku cerita kanak-kanak

Abstrak Para Panelis

BAHASA MELAYU DALAM NORMA BAHARU:CABARAN DAN HARAPAN

            Prof Madya Dr Faridah binti Nazir

         Tajuk: Kelebihan Kedudukan Bahasa Melayu Dalam Norma Baharu

 

Norma baharu sering membawa konotasi negatif kepada sesetengah pihak. Ada yang melabelkan norma atau kebiasaan baharu ini sebagai suatu yang menghalang setiap urusan kehidupan. Namun, jika dilihat dari sudut positifnya, norma baharu sebenarnya merupakan nafas baharu untuk manusia menjalankan aktiviti kehidupan sesuai dengan penyebaran wabak Covid-19. Mungkin dari satu segi, kita berasa terkongkong kerana tidak dapat lagi bergerak bebas seperti dahulu. Namun, dari segi lain, norma baharu telah membuka pelbagai peluang dan ruang kepada aktiviti manusia itu sendiri. Dalam hal ini,  penggunaan bahasa Melayu juga tidak terkecuali terkena tempiasnya. Boleh dikatakan bahawa, norma baharu telah membuka mata dan minda ramai orang sama ada di dalam atau di luar negara tentang penggunaan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kita boleh melihat pelbagai webinar dijalankan tentang penggunaan bahasa Melayu. Tokoh-tokoh bahasa begitu giat memperkatakan kelebihan bahasa Melayu melalui platform dalam talian seperti facebook live, zoom, google meet dan banyak lagi. Webinar ini bukan sahaja menjimatkan kerana tiada kos penyertaaan dikenakan dan jika ada pun amat minima serta tiada kos dan protokol yang menyukarkan. Penyertaan pula terbuka hingga ke peringkat antarabangsa. Pelbagai pihak sama ada di dalam atau di luar negara sudah boleh berdiskusi tentang bahasa Melayu secara lebih terbuka berbanding dahulu. Secara tidak langsung, kehebatan bahasa Melayu terserlah kepada ramai pihak dan perkara ini turut mengundang minat untuk mempelajari bahasa Melayu, budaya serta warisan Melayu itu sendiri. Beberapa daerah di China misalnya, walaupun sedang bertarung dengan Covid-19, telah menyatakan minat melalui Kedutaan China di Malaysia untuk belajar bahasa Melayu (bukan bahasa Indonesia). Malah, sudah ada permintaan daripada pelajar asing untuk belajar bahasa Melayu secara dalam talian. Beberapa kelebihan lain tentang kedudukan bahasa Melayu dalam norma baharu akan dirungkaikan melalui webinar ini, iaitu meliputi peluang menjana pendapatan dalam sektor pelancongan, peluang pekerjaan di luar negara dalam bidang Bahasa Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sebagainya.

Dr Azaha bin Ibrahim

IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan

Masa Depan dan Harapan Bahasa Melayu dalam Norma Baharu

Masa depan dan harapan bahasa Melayu dalam norma baharu semuanya terletak pada tangan kita sebagai penutur natif. Kalau kita berpandangan negatif terhadap nasib bahasa Melayu, maka bahasa Melayu sudah tentu semakin lama semakin dilupakan. Bahasa Melayu merupakan jati diri masyarakat Melayu yang sukar dileraikan daripada budaya masyarakat Melayu itu sendiri.  Dari sudut perundangan  bahasa Melayu telahpun diberi ruang dan keutamaan  kepada semua rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu tanpa mengira bangsa,  keturunan dan agama kerana penggunaan Bahasa Melayu sudah termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tentang penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran negara. Dalam konteks norma baharu kesan daripada covid-19 bukanlah satu halangan yang besar untuk bangsa Melayu terus kekal digunakan sebagai bahasa komunikasi yang utama dalam semua urusan. Harapan kita agar  bahasa Melayu menjadi keutamaan  dan berperanan sebagai wadah dalam menyampaikan  maklumat kepada masyarakat.  Penutur dan pengguna bahasa Melayu diharapkan semakin bertambah dan muncul  menjadi bahasa komunikasi dalam kalangan masyarakat di Malaysia, Asia Tenggara malah tersebar luas ke seluruh dunia. Masa depan bahasa Melayu menjadi semakin kukuh dan mantap dengan kewujudan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) yang lahir daripada Makmal Bahasa pada bulan April 2016.  Kewujudan KSBM yang akan menjadi rujukan  kepada semua pengguna bahasa Melayu tidak kira sebagai penutur bahasa pertama mahupun pengguna bahasa kedua diharapkan menjadi satu titiktolak dalam memacu bahasa Melayu ke pentas dunia.

 

Mengharungi Arus Bahasa Melayu dalam Norma Baharu.

Dr Nor Simah Mamat

Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di negara kita ialah bahasa Melayu. ​ Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang mesti digunakan dalam pentadbiran di semua peringkat termasuk kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Bahasa  Melayu  juga telah  mendominasi  sebahagian  daripada  dunia  ini dalam mendukung tugas dan fungsinya sebagai bahasa ilmu. Pelbagai bidang ilmu seperti sains, matematik, kejuruteraan, agama, politik, peradaban dan sebagainya dapat disampaikan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia melalui medium bahasa yang satu, iaitu Bahasa Melayu. Namun pelaksanaan dan penyampaian serta pengajarannya tidaklah semudah yang dijangka khususnya dalam mengharungi arus bahasa Melayu dalam norma baharu. Keupayaan bahasa Melayu juga harus diteliti dari segi pembangunan bahasa tersebut dan kapasiti penuturnya yang menjadikan bahasa Melayu setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia.

Sejauh manakah rakyat Malaysia mengharungi arus bahasa Melayu dalam norma baharu ini?

Perubahan demi perubahan berlaku dalam norma baharu akibat pendemik covid turut membawa bersama isu dan cabaran terhadap penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Penyampaian maklumat oleh kerajaan, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penjualan dan pembelian secara dalam talian, serta penggunaan sistem pembayaran digital adalah norma baharu dalam masyarakat. Perkara ini, pastinya akan memberikan cabaran terhadap pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Dalam menghadapi cabaran ini, bahasa Melayu perlu berada seiring bersama-sama arus norma baharu dalam masyarakat. Oleh itu, kerajaan perlu mengutamakan penggunaan bahasa Melayu sebaik mungkin termasuk di dalam media perdana, media digital ataupun media sosial,

Sikap penuturnya dan kesedaran berkomunikasi dalam media digital menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama perlu diperkasakan. Keberkesanan penyampaian maklumat menggunakan bahasa Melayu telah dibuktikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gelombang pertama dan kedua yang digunakan oleh Perdana Menteri, Menteri Keselamatan serta Pengarah Kesihatan Malaysia boleh dijadikan bukti bahawa bahasa Melayu mampu digunakan dalam arus norma baharu di Malaysia.

Sesungguhnya bahasa Melayu mampu dan berdaya saing sebagai bahasa komunikasi utama yang amat berkesan dalam norma baharu di negara ini.

Dalam mendepani arus globalisasi kini, cabaran-cabaran ini perlu dilalui secara bijaksana dalam menangani permasalahan yang wujud. Walau bagaimanapun, pemahaman dan kesedaran masyarakat secara menyeluruh tentang  Perkara 152 ini akan mewujudkan rakyat Malaysia yang saling memahami dan menghormati dasar bahasa sebagimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.